Pages

Wednesday 23 January 2013

Puisi - Salam


salam

doakanlah
kita, sama-sama
diterima
sebagai umatNya

salam


Mohd Raslan Tajudin
11 Rabiul Awal 1434H

Tuesday 15 January 2013

Puisi - Dangkal (buat Sharifah itu)


dengar, dengar, dengar
kata kau...

ah Sha, ia bukan jawapan
- kau menepis
- kau menafi
- kau mengelak

ilmu mu luas, kau sendiri henyak pijak
bilamana kau sendiri dangkal 

apa besar sangatkah laut ilmu mu itu
jika kau hanya mandi tepian?
takut gelombang?
ditiup deru badai?

tabik lah, pada perentas samudera
kali pertama
tahu akan liar ombak, ribut yang ronyoh
tetap mendayung
biar tahu perut lautan sering kelaparan.

ah, Sha...


Mohd Raslan Tajudin
Kangar

Monday 14 January 2013

Puisi - Waktu inilah


(air)
waktu inilah, kita bermimpi
berpelukan manja
mengucap sayang
mencium keghairahan
bererat kejap
menggigil rakusan
waktu inilah, kita selalu bermimpi

tapi sayang, kita hanya mampu bermimpi



Mohd Raslan Tajudin

Thursday 10 January 2013

Puisi - Suatu hari Itu


suatu hari, saya hanya seorang
dungu di jalanan purba
menoleh dan mendongak 
laluan panjang nan sempit
selaut manusia menghimpit
ingin ke seberang
enggan mahu tersepit

suatu hari itu, saya saja menyesatkan diri
mohon agar selisih
insan sabar nan tersisih
ingin menuntut
teka teki kelaku
sentiasa mati terburu-buru

suatu hari itu, saya tidak ketemu
atau saya madang jemu
selekoh lain ke seberang
mengelak bertemu orang


Mohd Raslan Tajudin
Kangar

Wednesday 9 January 2013

Puisi - Kita di atas sana


kita di awangan
olok-olok sebagai maharaja
menuding, membentak
ke huru hara
di singgahsana, kita 
lena dijulang seksa
di bawah, menahan
perit dan beban 
sedang kita lena, tak berjaga


Mohd Raslan Tajudin

Monday 7 January 2013

Puisi - Kasihan


Kasihan,
anjing-anjing yang menyalak
rimba tidak menerima
rawa tak sudi
gunung kata pergi

Kasihan,
anjing-anjing yang menjelir
makanan mana perlu digonggong
jika semua menyumbat telinga
- salakan membingitkan raga! (jawab mereka pada anjing-anjing)

Kasihan,
anjing-anjing
- suria bulan bintang
semua disalaknya
apakan daya,
suria cuma memberi cahaya, bulan pedoman di kelam malam, bintang bukti kebesaran.

Kasihan...


Mohd Raslan Tajudin

Friday 4 January 2013

Puisi - Manakah?


( peringatan untuk diri )
 
manakah sungai yang lurus ke lautan?
manakah bukit tanpa lembah?
manakah pokok tidak tinggi?
manakah hujan tidak lebat?
manakah gurun tanpa bahang?
manakah gua tanpa kelam?
manakah lautan tidak dalam?
manakah langit tanpa bintang?


Mohd Raslan Tajudin
Kangar